. SEJARAH KE ARAH PEMBINAAN SK. ULU BUDU, SARATOK
Pengenalan
Sejarah pembinaan SK. Ulu Budu
bermula pada tahun 1952, John Kennedy Wilson telah melawat ke kawasan Ulu
Krian. Beliau merupakan seorang pegawai kerajaan kolonial British yang berasal
dari Scotland. Beliau pernah bertugas menjadi juru terbang pesawat tempur
British semasa perang dunia kedua. Setelah itu, beliau ditugaskan di Sarawak
menjadi Pengetua Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching dalam tahun 1949. Kesan
daripada lawatan beliau tadi, J.K Wilson sangat sedih melihat kehidupan
masyarakat Iban di kawasan Krian.
Beliau bersimpati dengan masyarakat Iban yang
masih mundur dan juga tidak berpelajaran. Oleh yang demikian, beliau memutuskan
untuk tinggal bersama masyarakat Iban di kawasan Krian dengan harapan supaya
beliau dapat membantu mengubah cara hidup mereka.
![]() |
John Kennedy Wilson |
Tujuan utama J.K Wilson ( yang
disebut sebagai ‘Tuan Tuai’ ) mengabdikan diri di kalangan masyarakat Iban
adalah untuk;
a. Meningkatkan
taraf hidup masyarakat yang mundur dalam kawasan yang terpilih (The Sarawak
Gazette, May 31, 1957 )
b. Membantu
masyarakat Iban supaya lebih progresif dalam bidang sosial dan ekonomi (Buku ‘
Fair Land Sarawak by Alastair Morrison )
c. Mendedahkan cara
penjagaan kesihatan yang lebih baik
d. Membantu dalam
memberi didikan atau pelajaran kepada orang tua dan muda di kawasan tersebut.
e. Mengajar
masyarakat setempat cara bercucuk tanam dan memelihara haiwan ternakan.
Untuk mencapai hasrat tersebut, J.K
Wilson telah memulakan ekspedisi ke Ulu Krian pada 1 Januari 1953. Beliau
sampai di Rh. Gelau, Kaki Wong, Krian pada 5 Januari 1953. Beliau terus menetap
bersama orang Iban di situ.
Pada
bulan Mei 1953, beliau telah menjemput 400 keluarga daripada 36 buah rumah
panjang untuk bermesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut, beliau telah mengemukakan
cadangan penubuhan Pembangunan Komuniti Budu. Menurut beliau, Pembangunan
Komuniti Budu ini merangkumi penubuhan koperasi Pembangunan komuniti Budu,
Sekolah, Klinik dan juga Skim Pembangunan Komuniti Budu. Beliau memberitahu
masyarakat bahawa Skim yang akan beliau perkenalkan adalah mengenai penanaman
Kopi, Getah dan Lada. Hasil daripada penanaman ini akan dijual kepada koperasi
itu sendiri tanpa melalui orang tengah. Pada akhir perjumpaan ini, rata-rata
masyarakat Iban tempatan menyokong idea tersebut. Maka Pembangunan Komuniti
Budu pun ditubuhkan dalam bahasa Inggeris disebut sebagai ‘ Budu Community
Development’. Jawatankuasa sementara telah dipilih dikalangan orang tempatan
dan J.K Wilson hanya bertindak sebagai Penasihat sahaja. Beliau memilih lubuk
krukuh, Budu sebagai pusat Pentadbiran Pembangunan Komuniti Budu.
Pada bulan Oktober 1953,
pihak kolonial British telah mengiktiraf penubuhan Pembangunan Komuniti Budu.
Setelah diiktiraf kerajaan kolonial membantu dari segi pembekalan ubat-ubatan
dan juga gaji pekerja.
Pada tahun 1954, Arthur
Thwaites dan Thomas McBride menyertai perkhidmatan dalam Pembangunan Komuniti
Budu. Arthur seorang doktor dan Mcbride berkelulusan akauntan. Kedatangan
Aurther telah membuka klinik di Ng. Budu. Berdasarkan kelulusan yang ada McBride
ditugaskan menjadi juruwang atau bendahari dalam Koperasi Pembangunan Komuniti
Budu.
Di
antara tahun 1953 hingga 1957 terdapat 3 cawangan Pembangunan Komuniti Budu
telah berjaya dibuka iaitu di Ng. Gerenjang, Ng. Budu dan Ng. Engkilili, Krian.
Setiap cawangan disediakan perkhidmatan koperasi dan juga pendidikan untuk
orang tua dan muda. Selain daripada itu, skim Pembangunan Komuniti Budu juga
diperkenalkan. Setiap keluarga rumah panjang yang berminat untuk menanam kopi,
getah dan lada akan diberi benih atau tunas. Mereka juga telah diajar bagaimana
menanam dan memelihara tumbuhan tersebut.
Pendidikan
untuk orang dewasa dan juga anak muda mula diperkenalkan dalam setiap cawangan
Pembangunan Komuniti Budu. Menurut buku ‘ Budu And Enatih/Entabai Communities
And Their Development’ tulisan Liman Ak Numpang menyatakan bahawa J.K Wilson
membuka kelas pertama di lubuk krukuh pada tahun 1957 bagi anak muda iaitu
Jawie, Chundie, Chuk, Kunchie,Kalong and Umbat ( Rh. Gelau ), Rabing dan Bilun
( Dasey ), Ikoh ( Ng. Kau), Henry dan Januang ( Paku) serta Empeni ( Awik ).
Pembangunan
Komuniti Budu juga telah melantik beberapa orang tempatan menjadi tenaga
pengajar dan juga sebagai pegawai pembantu masyarakat tempatan. Antaranya
adalah Birai dan Guna ( guru terlatih ), Harry Mujan ( penolong pegawai
pertanian), Sabai, Bilal, Garai, Gana, David Mai, Radin, Changgai, Peter Mandy
dan Tom Dap sebagai guru tidak terlatih. Pada peringkat awalnya, J.K. Wilson
sendiri menjadi penasihat dan guru besar di sekolah berkenaan.
Impak
yang sangat ketara sumbangan Pembangunan Komuniti Budu adalah dari segi
pendidikan. Empat orang anak muda iaitu Liman, Jawie, Bilun dan Luke telah
ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke ‘Nairn Academy’ di Scotland.
Sekembalinya mereka dari sana, mereka telah berjaya menjadi doktor, guru dan pegawai pentadbir. Selain itu, hasil daripada
penubuhan Pembangunan Komuniti Budu ramai tokoh-tokoh tempatan dapat dilahirkan
iaitu bekas YB. Dr. Jawie Masing dan YB. Tan Sri William Mawan Ikom yang juga
ahli parlimen P.205 Saratok.
Terdapat 3 buah sekolah yang masih
kekal didirikan hasil sumbangan Pembanguan Komuniti Budu iaitu SK. Ng.
Gerenjang, SK. Ng. Budu dan SK. Ulu Budu. Bahan
binaan yang digunakan pada awal pembinaan sekolah ini, rata-ratanya daripada
sumber hutan berdekatan. Dengan adanya kemudahan sekolah di tempat
mereka maka mudah bagi mereka untuk menghantar anak mereka bersekolah.
Penubuhan
Pembangunan Komuniti Budu memberi manfaat yang sangat besar kepada masyarakat
setempat. Sehingga hari ini kesan positif hasil daripada kejayaan penubuhannya
dapat dinikmati masyarakat Iban Krian, Saratok. Walaupun ketika ini Pembangunan
Komuniti Budu hanya tinggal dalam lipatan sejarah, namun kejayaannya tidak
dapat dinapikan. Sehingga sekarang, kewujudan Sekolah Kebangsaan Ulu Budu masih
terletak di tanah kepunyaan Koperasi Pembangunan Komuniti Budu.
4. Senarai Pengetua / Guru Besar SK. Ulu Budu,
Saratok
Bil
|
Nama
|
Tahun
Berkhidmat
|
1
|
En. John Kennedy Wilson
|
1957 - 1961
|
2
|
En. Valentine Naga
|
1962 - 1963
|
3
|
En. Hillary Kalong Gambang
|
1964 – 1969
|
4
|
En. Ilai Sagat
|
1970 – 1974
|
5
|
En. Hillary Kalong Gambang
|
1975 – 1979
|
6
|
En. Francis Ikie Ganda
|
1980 – 1995
|
7
|
En. Lanyau Muyang
|
1995 – 2002
|
8
|
En. Adot Ason
|
2002 – 2007
|
9
|
En. Hillary Lanun
|
2008 – 2011
|
10
|
En. Mohtaja Bin Mokhtar Bin
Jaya
|
2011 – 2014
|
11
|
En. Rajali Bin Aii @ Madhi Bin
Aiee
|
2015 - Jun
2017
|
12
|
En. Lola Bin Julai
|
Julai 2017
|
No comments:
Post a Comment