CARTA ORGANISASI

Saturday, 28 November 2015

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL DAN HADIAH 2015

           SK. Ulu Budu, Saratok telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Dan Hadiah 2015 pada 18 Nov. 2015 yang lalu. Acara majlis dimulai dengan nyanyian lagu 'Negaraku', Ibu Pertiwiku dan lagu Sekolah. Seterusnya adalah ucapan alu-aluan oleh yang berusaha Guru Besar SK. Ulu Budu En. Rajali Bin Aii@ Madhi Bin Aiee. Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua PIBG sekolah iaitu En. Jemat Unding.
           Penyampaian Sijil dan Hadiah ini melibatkan semua peringkat murid dari Pra-sekolah hingga Tahun 6. Antara hadiah yang disampaikan adalah hadiah kedudukan dalam kelas, mata pelajaran teras tertinggi, peningkatan prestasi dan juga hadiah kelas pemulihan. Selain daripada hadiah yang murid terima, ada juga yang menerima sijil-sijil penghargaan, penyertaan KK dan Pengawas dan Ketua Kelas 2015. Acara kemuncaknya adalah menyampaikan Sijil Berhenti Sekolah kepada murid Tahun 6 yang akan menyambung pelajaran mereka ke Tingkatan 1 tahun depan.
           Majis ini juga diserikan lagi dengan beberapa salingan oleh murid-murid SK. Ulu Budu ini. Antaranya ialah Tarian ala 60'an, Sketsa Aci-aci buka pintu, Bercerita dalam Bm dll. Majlis tersebut telah dihadiri seramai 50 orang ibu bapa serta ahli exco PIBG sekolah. Terdapat juga aktiviti cabutan tiket bertuah semasa majlis ini berlangsung.
           Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini terutama sekali kepada penderma-penderma hadiah dan hamper. 














Tuesday, 17 November 2015

SUKANEKA DAN OLAHRAGA ANTARA RUMAH SUKAN 2015

           Pada 16 Nov.2015 ini, pihak sekolah telah mengadakan Sukaneka dan Olahraga Antara Rumah Sukan. Aktiviti ini dianjurkan oleh Kelab Olahraga dibawah Unit Kokurikulum sekolah. Sebanyak 4 buah rumah sukan yang terlibat iaitu, Rumah Kelisa, Rumah Kenari, Rumah Viva dan Rumah Kancil. Aktiviti ini melibatkan semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6.
          Antara acara yang dipertandingkan adalah 100m L&P, 200 m L&P, 4 X 100m L&P. Acara sukaneka adalah meniup belon, membawa bola dengan pengapit straw, membawa bola getah dengan hujung baton, mengambil cumi dalam besen dsb.
         Acara dimulakan dengan ucapan Guru Besar En. Rajali Bin Aii @ Madhi Bin Aiee. Selepas itu, taklimat ringkas oleh Penolong Kanan Kokurikulum En. Michael Pateh. Acara sukaneka dan olahraga dimulakan pada pukul 9.00 pagi. Segala aktiviti pada hari tersebut tamat pada pukul 12.30 tgh.
        Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas pengelibatan semua dalam menjayakan aktiviti ini. Sudah pasti aktiviti seumpama ini akan diadakan setiap tahun. Syabas dan tahniah kepada semua warga SK. Ulu Budu, Saratok









Monday, 16 November 2015

PERKHEMAHAN JATI DIRI PASUKAN UNIT BERUNIFORM / MURID ASRAMA

         Pada 12 hingga 13 Nov. 2015 yang lepas, pihak Sekolah Kebangsaan Ulu Budu telah mengadakan Perkhemahan Jati Diri anjuran Unit Beruniform dan murid asrama. Perkhemahan ini adalah bertujuan menambah keyakinan dan percaya diri murid dalam menghadapi cabaran dan menanamkan sikap bekerjasama dan toleransi di kalangan mereka. Matlamat perkhemahan ini adalah untuk menjadikan murid lebih matang, berdisiplin, berhemah dan yakin pada kemampuan diri dalam menghadapi sebarang situasi.
        Bagi menjayakan aktiviti perkhemahan ini pihak sekolah telah membenarkan penyertaan murid dari Tahun 3 hingga Tahun 6 seramai 17 orang. Selain itu pihak penganjur juga telah menjemput penyertaan murid daripada sekolah lain. Antara sekolah yang dijemput menyertai perkhemahan ini adalah SK. Ng. Gerenjang, SK. Ng. Budu dan SK. Kabo Hilir. Walau bagaimana pun, hanya SK. Kabo Hilir yang menghantar penyertaan seramai 9 orang peserta sahaja. Selain daripada itu, semua staf SK. Ulu Budu dan juga beberapa orang guru daripada SK. Kabo Hilir juga turut serta dalam menjayakan aktiviti ini. Antara aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan ini adalah Kem Kraft, Ikhtiar Hidup, Riadah, Jejak Rimba, Keselamatan Di Air dan Penghayatan Malam.
       Acara penutupan telah diadakan pada sebelah pagi 13 Nov. 2015 dengan penyerahan Sijil Penyertaan dan Hadiah kepada semua peserta yang terlibat. Pihak SK. Ulu Budu, mengucapkan berbanyak terima kasih di atas pengelibatan semua pihak dalam menjayakan aktiviti ini. Syabas dan tahniah kerana telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Jati Diri bagi tahun 2015.